Selasa, 14 Oktober 2014

JENAYAH KOLAR PUTIH



Dalam merentasi arus pemodenan kini, kita seringkali mendengar pelbagai isu sensitif yang boleh menjejaskan imej negara. Isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang ialah jenayah kolar putih. Jenayah ini merupakan jenayah yang dilakukan secara halus tanpa menggunakan kekerasan. Jenayah kolar putih selalunya dikaitkan dengan golongan yang profesional dan berpendidikan tinggi. Malahan golongan ini lebih memahami akan prosuder perundangan dan kerana itulah mereka lebih berani dan yakin untuk melakukan jenyah ini kerana beranggapan bahawa kesalahan mereka akan sukar dikesan oleh pihak berkuasa. Amalan rasuah, pecah amanah dan penyelewengan wang syarikat merupakan antara jenayah yang berkait dengan jenayah kolar putih ini. Pihak berkuasa haruslah mengambil langkah yang efektif agar jenayah ini tidak berlaku kerana jenayah ini akan memberi kesan kepada negara dan masyarakat.
Antara faktor berlakunya jenayah kolar putih ialah nafsu tamak haloba individu tersebut. Hal ini demikian kerana, keinginan individu tersebut untuk memiliki kehidupan yang mewah serta memiliki status yang tinggi agar dipandang oleh masyarakat. Individu ini memiliki sifat yang materialistik atau mementingkan kebendaan. Jadi, mereka sanggup melakukan jenayah ini agar dapat memenuhi keperluan mereka. Jenayah ini juga sering terjadi di kalangan individu yang terdesak dan sedang memerlukan sumber kewangan untuk sesuatu urusan. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, mereka menerima wang tersebut tanpa memikirkan apa yang bakal berlaku.
Selain itu, kelonggaran undang-undang turut menjadi faktor dalam kes jenayah ini. Penguatkuasaan yang lemah dalam sistem perundangan memberikan kekuatan kepada pesalah untuk melakukan jenayah kolar putih. Hal ini demikian kerana, pesalah beranggapan bahawa jenayah yang mereka lakukan akan sukar dihidu pihak berkuasa disebabkan mereka terdiri daripada golongan yang terhormat. Jadi, peningkatan kes jenayah ini akan berterusan dan menyebabkan ekonomi negara semakin tergugat.
Pihak yang terbabit seharusnya mengambil langkah yang efektif agar jenayah kolar putih ini dapat di atasi. Antara langkah untuk mengatasi jenayah ini ialah memperketatkan penguatkuasaan undang-undang. Hukuman yang berat akan berkesan dalam hal ini. Pesalah seharusnya dikenakan hukuman penjara yang lama. Hukuman sebatan juga perlu dilaksanakan sebagai langkah pencegahan dan harta serta wang ringgit yang dilesapkan haruslah dirampas semula oleh pihak kerajaan.  Hukuman berat itu bukan sahaja menjadi pengajaran kepada pesalah, malah menjadi amaran kepada individu yang lain agar tidak sesekali melakukannya. Setiap individu akan memikirkan kesan yang bakal mereka perolehi jika melakukan jenayah ini kerana jika tertangkap mereka akan kehilangan segala-galanya.
Seterusnya, didikan agama untuk melahirkan insan yang beriman juga amat penting. Hal ini demikian kerana, didikan agama akan mengajar kita ke arah kebaikan. Sifat tamak haloba perlulah dijauhi agar kita tidak bertindak negatif. Semua didikan agama mengajar kita agar hidup dengan kejujuran dan kesederhanaan. Kita sebagai manusia tidak perlu bermegah dengan segala kemewahan dan status yang ada jika kita mendapatkannya dengan cara yang salah.
Kempen kesedaran juga amat penting dalam membendung permasalah ini. Kempen kesedaran perlulah dilakukan di peringkat sekolah mahupun kebangsaan. Hal ini demikian kerana, pelajar-pelajar sekolah sudah boleh didedahkan dengan hal-hal sebegini supaya mereka sedar betapa bahayanya jenayah ini walaupun tanpa menggunakan kekerasan. Mereka sendiri akan lihat bagaimana mereka boleh menjadi mangsa kepada jenayah kolar putih. Pendedahan yang diberikan berguna supaya orang ramai dapat bekerjasama dalam membendung masalah ini.
Kesimpulannya, setiap individu memainkan peranan yang penting dalam mengatasi jenayah ini. Pemimpin India yang terkenal, iaitu Mahatma Ghandi pernah berkata: “Dunia ini cukup untuk semua orang kecuali mereka yang tamak haloba. Tempat yang terbaik untuk golongan ini ialah di penjara.” Jadi, kepada mereka yang melakukan jenayah ini, ingatlah pepatah "sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga".

       

Tiada ulasan:

Catat Ulasan