Jenayah
ragut semakin menular sejak akhir-akhir ini. Ragut didefinisikan sebagai
perlakuan menarik, menyentak dan mencabut secara paksa atau dengan kekuatan.
Jenayah ini melibatkan penunggang motosikal yang kebanyakannya ialah penagih
dadah. Mangsa ragut pula terdiri daripada kaum wanita tidak kira tua mahupun
muda yang berjalan kaki, berbasikal dan menunggang motosikal. Mangsa jenayah
biasanya menyandang beg ataupun meletakkan beg di dalam bakul basikal atau
motosikal. Jenayah ini pada awalnya tidak dipandang serius, namun disebabkan
banyak nyawa yang terkorban, jenayah ini mula menjadi perhatian ramai.
Antara
faktor yang menyebabkan berlakunya jenayah ragut ialah desakan hidup. Kehidupan
yang terdesak disebabkan taraf hidup yang semakin tinggi di negara ini
mendorong individu melakukan jenayah ragut. Penjenayah beranggapan bahawa
mereka perlu meneruskan hidup tidak kira dengan cara apa sekalipun. Kebanyakan
kes jenayah ragut adalah melibatkan mereka yang mengambil dadah. Penagih dadah
yang terdesak untuk membeli dadah melakukan jenayah ini tanpa rasa takut
ataupun kesian kepada mangsa jenayah. Bagi mereka, dengan meragut akan
membuatkan mereka lebih mudah untuk mendapatkan wang dan seterusnya dapat
memuaskan keinginan mereka.
Selain
itu, sikap mangsa ragut yang cuai dan leka turut menyumbang berlakunya jenayah
ini. Mangsa ragut selalunya terdiri daripada kaum wanita. Antara barangan yang
selalu menjadi santapan peragut ialah barang kemas, beg tangan, telefon bimbit
dan sebagainya. Kebiasaannya, peragut akan lebih tertarik kepada wanita yang
suka mendedahkan barangan kemas yang dipakai. Barangan kemas yang dipakai
keterlaluan menjadi daya penarik kepada peragut. Terdapat juga wanita yang
menyandang beg tangan sambil lewa dan menyebabkan beg tangan tersebut mudah
diragut.
Kawasan
yang tidak mempunyai ciri keselamatan juga menjadi salah satu faktor
peningkatan kes jenayah ini. Kawasan-kawasan yang tiada kamera litar tertutup
dan tiada lampu menjadi target kepada si peragut. Kebanyakan kaum wanita tidak
peka dengan keadaan sekeliling ketika berjalan. Misalnya, mereka mengambil
jalan mudah untuk sampai ke destinasi yang dituju dengan berjalan berseorangan
di laluan yang sunyi . Hal ini akan memudahkan peragut untuk melakukan jenayah
mereka tanpa rasa takut.
Terdapat
langkah-langkah yang efektif bagi membendung kes jenayah ini daripada terus
meningkat. Antaranya ialah memperketatkan penguatkuasaan undang-undang. Hal ini
demikian kerana, jenayah ragut sekarang bukan sahaja meragut harta benda
malahan meragut nyawa mangsa yang tidak berdosa. Hukuman yang setimpal harus
dikenakan kepada pesalah agar menjadi amaran kepada peragut yang lain. Hukuman
seperti penjara dan sebatan perlu ditambah kepada pesalah terutamanya jika pesalah
tersebut ialah penagih dadah.
Seterusnya,
pihak berkuasa haruslah memasang kamera litar tertutup di kawasan-kawasan yang
disyaki 'kawasan panas' seperti stesen bas, pusat membeli-belah, di kawasan
bank, tempat-tempat umum dan sebagainya. Memasang pagar berdawai bagi tujuan
memisahkan jalan raya dengan kawasan pejalan kaki juga merupakan langkah yang
efektif untuk mengurangkan jenayah ragut. Selain itu, orang awam yang melihat
kejadian ragut juga perlulah membuat tindakan yang sewajarnya dengan melaporkan
kejadian kepada pihak berkuasa secepat mungkin. Hal ini akan memudahkan pihak
berkuasa untuk membuat tangkapan ke atas penjenayah.
Konklusinya,
setiap individu haruslah bekerjasama dalam membendung kegiatan jenayah ini agar
imej negara tidak tercalar di mata dunia. Keselamatan setiap individu haruslah
diutamakan. Kita janganlah mengambil sikap sambil lewa dan hanya akan sedar
sekiranya berlaku kematian dalam kalangan mangsa ragut seperti kata pepatah,
"sudah terhantuk baru terngadah". Jadi sama-samalah kita membanteras
jenayah ragut.