Sabtu, 27 September 2014

TENTANG AKU



Setiap daripada kita mempunyai  kisah dan cara tersendiri dalam memulakan sesuatu, begitu juga dengan saya . Saya memulakan entri pertama dengan memperkenalkan diri saya terlebih dahulu. Nama yang telah diberi Zaidatinatul Diana binti Mohammad dan lebih dikenali dengan panggilan Nana. Saya telah dilahirkan pada tanggal 17 Jun 1994 di Hospital Kuantan, Pahang. Saya merupakan puteri sulung kepada pasangan Mohammad bin Ibrahim dan Nur Azlida binti Tugiman. Saya adalah warganegara Malaysia yang beragama Islam dan berketurunan Melayu.
Dengan kelayakan Sijil Tertinggi Pelajaran Malaysia (STPM), saya dapat bergelar sebagai  mahasiswi di Universiti Utara Malaysia. Saya adalah pelajar semester pertama dalam kos Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dengan Kepujian (BDM). Sebelum ini, saya adalah pelajar Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad, Pekan, Pahang. Walaupun terdapat perbezaan yang sangat ketara antara pelajar Tingkatan 6 dengan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi, saya berharap agar saya dapat menyesuaikan diri dengan situasi baharu di samping dapat mencapai cita-cita saya untuk berjaya di dalam kehidupan.
Sebelum melangkah ke alam universiti, saya mempunyai pengalaman bekerja walaupun dalam tempoh yang singkat. Saya pernah bekerja sebagai pembantu di taska dan bekerja sebagai pembantu kiosk di Ramly Burger, Bandar Tun Razak, Cheras. Dengan pengalaman bekerja ini, saya dapat memperoleh serba sedikit ilmu pengetahuan dan dapat menguji tahap kesabaran serta ketahanan dari segi mental dan fizikal.
Saya merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik. Saya mempunyai dua orang adik lelaki dan seorang adik perempuan. Dua orang daripada mereka masih bersekolah. Walaupun saya seorang kakak yang dianggap garang dan kuat membebel oleh adik-adik  saya, tetapi perasaan kasih sayang antara kami tidak pernah terpadam walaupun berjauhan.
Sifat-sifat negatif yang ada dalam diri saya ialah saya seorang yang pemarah, mudah terasa, suka menangguh kerja dan yang paling penting ialah saya lambat dalam melakukan apa-apa perkara. Saya juga mudah mesra dengan orang yang dikenali dan saya amat mementingkan kekemasan dalam sesuatu perkara.
Saya berharap saya akan menjadi seorang yang berjaya dalam hidup dan dapat menjadi seorang anak yang berbakti kepada orang tua. Saya akan cuba perbaiki segala keburukan yang ada agar saya dapat menjadi individu yang berfikiran positif dan dapat membahagiakan  saya, keluarga serta orang lain.